Friday, November 1, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    PB rai pelajar cemerlang

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Seramai 35 graduan terpilih daripada Kelas 2024 telah diraikan dalam Majlis Anugerah Cemerlang 2024 sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei (PB) ke-10, yang berlangsung di Dewan Grand Cesar, Hotel Mulia, Berakas, hari ini.

    Para graduan yang dicalonkan adalah pelajar daripada pelbagai program di bawah lima buah sekolah-sekolah PB iaitu Sekolah Perdagangan, Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Sekolah Sains Kesihatan dan Sekolah Petrokimia.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, selaku Pengerusi Lembaga Pengelola PB.

    Turut hadir menyaksikan hari bersejarah bagi pelajar-pelajar PB itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo, ibu bapa dan ahli-ahli keluarga penerima anugerah, para penaja, ahli-ahli Lembaga Pengelola PB.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Awang Muhammad Tsuufiy bin Haji Abdul Wahab.

    Salah seorang graduan menerima anugerah daripada Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    TYT Xiao Jianguo menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar.- GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Di majlis itu, Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon dalam ucapannya antara lain menggariskan, anugerah ini mencerminkan usaha dalam memupuk budaya kecemerlangan selaras dengan nilai teras PB, Taf-fa-wuq, yang merupakan perkataan Arab untuk kecemerlangan.

    Majlis tersebut menyaksikan penyampaian anugerah kepada beberapa kategori iaitu Anugerah Pelajar Terbaik; Anugerah Akademik Cemerlang; Anugerah Cemerlang Aktiviti Pengayaan; Anugerah Inovasi; dan Anugerah Duta Republik Rakyat China yang ditaja oleh Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam.

    Manakala satu anugerah yang baharu diperkenalkan ialah Anugerah Pekerja Cemerlang yang mana anugerah-anugerah tersebut telah disampaikan oleh tetamu kehormat dan TYT Xiao Jianguo.

    Anugerah Pelajar Terbaik diberikan kepada Awang Mohammad Rayyan bin Haji Mohd Sufian, pelajar yang baharu sahaja menerima kelayakan Diploma Tahap 5 dalam Pengajian Perniagaan (Pemasaran), Sekolah Perniagaan, PB.

    Sementara Awang Mohammad Rayyan juga merupakan salah seorang daripada 25 penerima anugerah di bawah kategori Anugerah Akademik Cemerlang.

    Manakala Anugerah Duta Republik Rakyat Cina, yang telah ditaja oleh Kedutaan Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, juga diberikan kepada 23 orang pelajar daripada 23 buah program di bawah PB.

    Majlis Anugerah Cemerlang PB 2024 juga menyaksikan pengenalan rasmi kategori anugerah baharu iaitu Anugerah Pekerja Cemerlang, di mana sembilan orang kakitangan telah dipilih sebagai penerima anugerah tersebut.

    Turut disampaikan pada majlis tersebut adalah sijil-sijil penghargaan kepada para penaja yang disampaikan oleh Lim Kian Boon.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda