Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    PB sambut ulang tahun ke-10

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Politeknik Brunei (PB) telah meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-10 dengan majlis sambutan yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani selaku Pengerusi Lembaga Pengarah PB.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah PB, naib canselor, rektor, raes, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua bahagian, sekolah dan pusat dari PB serta pegawai dan kakitangan PB.

    Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon dalam ucapannya menekankan mengenai perjalanan institusi itu sejak 2008 yang memberi tumpuan kepada pembangunan institusi dan program.

    Beliau turut merakamkan rasa terima kasih dan penghargaan institusi terhadap rakan kongsi industri dan pihak berkepentingan yang telah bekerjasama untuk membangunkan program dalam PB bagi memenuhi permintaan industri.

    Semasa acara itu, PB menyampaikan cek sumbangan kepada SMARTER Brunei sempena ulang tahun ke-10 yang dikumpulkan semasa Walkaton PB 2022, baru-baru ini. Cek bernilai $4,000 telah disampaikan oleh tetamu kehormat kepada wakil SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang.

    Majlis turut menyaksikan tetamu kehormat melancarkan laman web PB yang telah dirombak, dan penyampaian tanda penghargaan kepada mereka yang telah memberi sumbangan besar kepada PB.

    Bagi meraikan pencapaian penting itu, PB turut menyampaikan anugerah-anugerah kecemerlangan, Anugerah Kecemerlangan Pentadbiran untuk Kepimpinan, Anugerah Kecemerlangan Pentadbiran untuk Pengurusan, Anugerah Kecemerlangan Pentadbiran untuk Kakitangan Sokongan dan Anugerah Istimewa.

    Sejajar dengan nilai tafawwuq PB yang bermaksud kecemerlangan, anugerah itu diberikan kepada kakitangan yang diiktiraf cemerlang dalam bidang masing-masing, daripada akademik, kepimpinan, pengurusan sehinggalah kakitangan sokongan.

    Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima.
    Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina menyampaikan cek contoh sumbangan untuk SMARTER Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda