Friday, April 18, 2025
30.8 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

PB sedia rebut tempat ke peringkat kalah mati

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Politeknik Brunei (PB) merealisasikan harapan mereka untuk mara ke peringkat kalah mati Kejohanan Bolasepak Universiti Brunei Darussalam (UBD) 2021 bagi institusi pengajian tinggi selepas berjaya meraih kemenangan 2-1 ke atas Kolej Antarabangsa Micronet (MIC) yang berlangsung di Padang ‘A’ Kompleks Sukan UBD hari ini.

Keputusan tersebut membantu PB menduduki tempat kedua dalam Kumpulan ‘A’ dan berkongsi mata dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB). Pada perlawanan itu, Abdul Hanan bin Haji Abas membuka jaringan untuk PB pada minit ke-18 sebelum Mohd Rais Muntashir bin Mohd Shahrun berjaya menyamakan kedudukan untuk MIC pada minit ke-25.

Walau bagaimanapun, PB berjaya menjaringkan gol kedua 2-1 sebelum rehat setelah Mohd Helmi bin Tuah menjaringkan gol pada minit ke-36. Di separuh masa kedua menyaksikan MIC mencipta beberapa peluang dalam usaha untuk menghidupkan kembali perlawanan tetapi pertahanan PB bertahan dengan baik.

Penjaga gawang MIC, Mohd Nazmi Nazreen bin Haji Mohd Hasreen berjaya menangkis percubaan daripada Mohd Helmi ketika PB berusaha mendapatkan ruang untuk terus memimpin. Namun, PB terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah penjaga gol Abdul Wafi bin Sunny menangkap bola di luar kotak penalti selepas menolak peluang jaringan gol buat MIC, tetapi PB menarik nafas lega ketika Awangku Mohd Amirul Haziq bin Pengiran Kamsaulzaman melakukan sepakan percuma melepasi palang. Awangku Mohd Amirul Haziq kelihatan mengancam selepas diturunkan sebagai pemain gantian tetapi rembatannya jauh tersasar.

MIC masih mencari kemenangan pertama mereka. Namun, PB berjaya bertahan sehingga tamat perlawanan. Kejohanan itu diteruskan dengan perlawanan Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan (CCCT) menentang pendahulu Kumpulan ‘A’ KUPU SB.

Antara aksi di perlawanan antara PB dan MIC yang berlangsung di Padang ‘A’ Kompleks Sukan UBD kelmarin.
- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda