GENEVA, 20 MEI – Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata hari ini ia akan mengadakan sesi khas mengenai situasi di wilayah Palestin, di tengah keganasan di antara Israel dan kumpulan bersenjata Palestin di Gaza.
Sesi itu, dirancang diadakan pada Khamis depan, akan mengatasi ‘situasi hak asasi manusia yang serius di Wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis Timur,” kata majlis dalam satu kenyataan.
Sesi itu diminta oleh Pakistan, yang merupakan penyelaras Pertubuhan Kerjasama Islam dan pihak berkuasa Palestin, katanya.
Ia akan menandakan mesyuarat luar biasa ke-30 badan hak asasi manusia PBB sejak ditubuhkan 15 tahun lalu.
PBB tidak mengatakan jumlah negara anggota majlis yang berpangkalan di Geneva itu yang telah menyokong gesaan tersebut, namun sekurang-kurangnya satu pertiga mesti hadir untuk membolehkan permintaan sesi khas diluluskan.
Pengumuman hari ini keluar tatkala serangan udara Israel terus melanda Gaza hari ini dan ketika diplomat-diplomat asing mempergiat usaha mereka untuk mencapai gencatan senjata bertujuan membendung keganasan yang meletus 10 hari lalu.
Serangan Israel ke atas bandar Gaza telah membunuh 230 penduduk Palestin, termasuk 65 kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan Gaza, selain memusnahkan sebahagian besar kawasan dan menyebabkan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal di wilayah sesak itu.
Sementara itu, tentera Israel berkata Hamas dan kumpulan bersenjata Islam lain di Gaza telah menembak 4,070 roket ke Israel, kebanyakannya berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Iron Dome. – AFP
