PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BER-SATU (PBB), Amerika Syarikat, 30 Mac – Berpuluh ribu pelarian Rohingya yang melarikan diri ke kem di Bangladesh dari Myanmar mesti dipindah semula untuk mengelak banjir dan risiko lain daripada monsun, kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres semalam.
Kira-kira 150,000 Rohingya sedang menetap di kawasan yang mudah terdedah kepada banjir di kem sesak di Cox’s Bazar dan mungkin terdedah kepada risiko kesihatan seperti kolera ketika musim hujan, dijangka bermula pada Jun, menurut PBB.
“Monsun adalah kebimbangan terbesar,” beritahu Guterres kepada wartawan di ibu pejabat PBB di New York, menambah Rohingya adalah ‘amat mudah terdedah kepada monsun’.
Guterres berkata dia telah membincang pemindahan dengan kerajaan Bangladesh dan menekankan ‘tanah lebih tinggi adalah tempat terbaik untuk pemindahan seumpama ini’.
Kerajaan di Dhaka meneruskan rundingan dengan agensi PBB tentang di mana untuk memindahkan Rohingya, katanya. Terdapatnya laporan yang menunjukkan pihak berkuasa telah bercadang untuk memindah mereka ke pulau terpencil.
Kira-kira 700,000 Rohingya telah diusir ke Bangladesh kerana tindakan keras tentera di negeri Rakhine di Myanmar sejak Ogos lalu. Pihak berkuasa Myanmar berkata operasi berkenaan bertujuan menghapus pelampau. – AFP