Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB: Bantuan di Gaza akan terhenti, bahan api kurang

    GAZA, 25 OKT – Sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bekalan bahan api yang semakin berkurangan boleh menghentikan operasi bantuan di Gaza yang dibelenggu peperangan hari ini, ketika gesaan keluar meminta pertempuran ‘dihentikan.’

    Selepas 18 hari serangan udara Israel yang berterusan dan sekatan darat, laut dan udara hampir menyeluruh ke atas wilayah Palestin, agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran bahawa situasi mereka kini telah mencecah tahap kritikal dan hampir tidak mampu berfungsi lagi.

    “Jika kami tidak mendapatkan bahan api dengan segera, kami terpaksa menghentikan operasi kami di Semenanjung Gaza,” kata agensi PBB, yang memberikan bantuan kepada 600,000 rakyat Gaza yang kehilangan tempat tinggal.

    Israel melancarkan serangannya ke atas Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan rentas sempadan yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh pejuang Hamas pada 7 Oktober.

    Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah berikrar akan ‘menghapuskan Hamas’ dan memastikan ia tidak lagi boleh mengancam penduduk awam Israel.

    ‘Operasi Pedang Besi’ yang dilancarkan oleh Israel telah mencetuskan kebimbangan dan kegelisahan dalam kalangan komuniti antarabangsa.

    Kementerian kesihatan Hamas Gaza berkata 5,791 orang telah terbunuh dalam perang setakat ini, kebanyakannya kanak-kanak.

    Kementerian itu meletakkan jumlah korban kelmarin seramai lebih 700 orang, dengan PBB berkata ia adalah yang tertinggi dilaporkan dalam sehari sejak perang bermula.

    Semalam, sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh, kata Hamas hari ini. – AFP

    Seorang lelaki dan kanak-kanak cedera dalam pengeboman Israel ketika mereka menerima rawatan di wad trauma di Hospital Nasser di Khan Yunis pada 24 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda