DHAKA, 28 MAC – Agensi makanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkata hari ini mereka telah membatalkan rancangan untuk mengurangkan separuh daripada catuan makanan kepada lebih satu juta pelarian Rohingya yang tinggal di Bangladesh selepas kejayaan rayuan bagi mendapatkan lebih banyak bantuan asing.
Kumpulan Rohingya yang ditindas dan tidak mempunyai kewarganegaraan, hidup dalam kem bantuan yang daif di Bangladesh dan kebanyakan daripada mereka tiba selepas melarikan diri daripada tindakan keras tentera di Myanmar pada 2017.
Program Makanan Sedunia (WFP) berkata dalam sepucuk surat awal bulan ini bahawa ‘kekurangan dana yang serius’ akan memaksa mereka mengurangkan catuan makanan bulanan dari $12.50 kepada $6.00 seorang mulai April.
“Keputusan itu telah ditarik balik, disebabkan sokongan yang tepat pada masanya daripada komuniti antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat (AS),” beritahu jurucakap agensi, Kun Li kepada AFP.
Presiden AS, Donald Trump telah mengenakan pembekuan ke atas bantuan asing pada Januari lalu sementara menunggu semakan semula selepas Washington mengumumkan pembatalan 83 peratus daripada program-program di Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID). – AFP
