NEW YORK, 8 OGOS – Timbalan Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Farhan Haq mendedahkan kurang 17 peratus daripada AS$46 bilion yang diperlukan bagi memenuhi keperluan kemanusiaan global 2025 telah diterima setakat ini, lapor Xinhua.
“Lebih separuh tahun berlalu, namun landskap pembiayaan kemanusiaan masih berada pada tahap kritikal,” katanya pada sidang media harian, memetik Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
Beliau berkata jumlah pembiayaan yang diterima setakat ini mencatatkan penurunan 40 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jurucakap itu juga menegaskan kekurangan dana menjadi peringatan jelas bahawa jutaan orang berdepan kelaparan tanpa menerima bantuan yang amat diperlukan.
Pada Jun lalu, susulan pemotongan dana terbesar dalam sejarah sistem kemanusiaan antarabangsa, OCHA melancarkan rayuan global bagi membantu 114 juta orang dengan memberi tumpuan kepada keperluan paling mendesak dalam rangka tinjauan menyeluruh kemanusiaan global 2025. – Bernama


