Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB beri amaran risiko penyakit selepas tanah runtuh di PNG

    PORT MORESBY, 30 MEI – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa mangsa yang terselamat daripada tanah runtuh Papua New Guinea (PNG) berisiko berdepan ‘wabak penyakit yang ketara’ dan masih belum menerima bekalan makanan serta air bersih yang mencukupi.

    Menurut agensi itu, selepas enam hari bencana itu berlaku, sumber air sudah tercemar dan risiko penyakit semakin meningkat berikutan sebahagian besar air di kawasan itu mengalir melalui tapak tanah runtuh yang kini menjadi tanah perkuburan sepanjang 600 meter.

    “Anak sungai yang mengalir dari serpihan itu kini tercemar, menimbulkan risiko besar wabak penyakit.

    “Tiada kaedah digunakan untuk merawat air supaya selamat untuk diminum,” katanya, memberi amaran mengenai cirit-birit dan malaria.

    Sepanjang minggu lalu, penduduk Yambeli dan Lapak menggali tanah dalam usaha mencari saudara mara yang tertimbus dengan bau yang sangat busuk.

    Pegawai tempatan berkata, antara enam dan 11 mayat telah ditemui.

    Sementara itu, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) PBB berkata, keutamaan sekarang ialah mendapatkan air bersih, tablet penulenan dan bekalan makanan.

    Jumlah kematian yang disahkan dijangka meningkat dengan ketara apabila jentera berat tiba dan berfungsi melalui zon bencana yang berukuran 90,000 meter persegi.

    Bagaimanapun, pentadbir wilayah Enga, Sandis Tsaka, berkata kesukaran mendapatkan jentera ke tapak bencana berikutan risiko pergerakan tanah yang tidak stabil. – AFP

    Gambar menunjukkan kakitangan darat dan anggota Tentera Udara Diraja Australia memunggah bantuan dari pesawat berhampiran tapak tanah runtuh di kampung Yambali. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda