Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB ‘bimbang’ undang-undang moral Afghanistan

    KABUL, 25 OGOS – Misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan hari ini berkata ia ‘bimbang’ mengenai undang-undang moral yang baru-baru ini disahkan oleh pihak berkuasa Taliban, mengkritik khususnya sekatan-sekatan ke atas wanita.

    Pihak berkuasa Taliban pada Rabu mengumumkan pengkanunan undang-undang dengan 35 artikel memperincikan sekatan tingkah laku dan gaya hidup yang meluas berdasarkan tafsiran ketat mereka terhadap undang-undang Islam.

    Undang-undang itu menetapkan hukuman berperingkat bagi ketidakpatuhan – daripada amaran lisan kepada ugutan, denda dan penahanan pelbagai tempoh – dikuatkuasakan oleh polis moral di bawah Kementerian Penyebaran Kebajikan dan Pencegahan Maksiat.

    “Ia adalah bayangan yang menyedihkan untuk masa depan Afghanistan, di mana pemeriksa moral mempunyai kuasa budi bicara untuk mengancam dan menahan sesiapa sahaja berdasarkan senarai pelanggaran yang luas dan kadangkala samar-samar,” kata Roza Otunbayeva, ketua Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA).

    Banyak komponen undang-undang itu telah dilaksanakan secara tidak rasmi sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos 2021, dan masih tidak jelas sama ada pengkanunan rasminya akan membawa kepada penguatkuasaan yang lebih ketat.

    Wanita menanggung beban sekatan yang dilabel PBB sebagai ‘aparteid jantina’, yang telah menolak mereka daripada kehidupan awam, termasuk menghalang mereka daripada pendidikan menengah dan tinggi.

    Seorang doktor yang bekerja di Kabul yang tidak mahu memberikan namanya berkata dia berasa ‘putus asa’ mendengar tentang undang-undang itu.

    “Adalah lebih baik jika mereka mengumumkan pembukaan sekolah dan universiti dan bukannya undang-undang ini. Itu akan memberi kami sedikit harapan.”

    Otunbayeva berkata, undang-undang itu “memperluaskan sekatan yang sudah tidak boleh diterima ke atas hak wanita dan gadis Afghanistan, malah bunyi suara wanita di luar rumah nampaknya dianggap sebagai pelanggaran moral”. – AFP

    Pejuang Taliban menyambut ulang tahun ketiga pengunduran tentera pimpinan AS dari Afghanistan, di Kabul, Afghanistan, pada 14 Ogos 2024. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda