Sunday, April 13, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB catat ribuan kes rogol kanak-kanak di Congo

    GENEVA, 11 APRIL – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini, mengecam kejadian kes rogol yang berleluasa ke atas kanak-kanak di timur Republik Demokratik Congo (DR Congo), kawasan yang dilanda konflik, selepas ribuan mangsa dilaporkan menjadi mangsa keganasan seksual dalam tempoh dua bulan pertama tahun 2025.

    Wilayah timur DR Congo telah lama bergolak akibat konflik bersenjata, namun ketegangan semakin memuncak sejak kebelakangan ini susulan kemaraan kumpulan bersenjata M23 yang menurut komuniti antarabangsa, disokong oleh Rwanda dakwaan yang dinafikan oleh Kigali.

    “Kadar keganasan seksual terhadap kanak-kanak tidak pernah setinggi ini,” tegas James Elder dari Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), sambil menyeru tindakan segera diambil.

    “Laporan awal menunjukkan kanak-kanak membentuk antara 35 hingga 45 peratus daripada hampir 10,000 kes rogol dan keganasan seksual yang dilaporkan hanya dalam bulan Januari dan Februari tahun ini,” katanya kepada media di Geneva, menerusi sidang dari bandar Goma.

    Tambahnya lagi, “Menurut data awal, dalam fasa konflik paling sengit di timur DRC tahun ini, seorang kanak-kanak dirogol setiap setengah jam.”

    Konflik yang telah meragut ribuan nyawa itu turut memaksa ramai penduduk kehilangan tempat tinggal, menjadikan kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada jenayah seksual yang berleluasa sejak sekian lama di rantau tersebut.

    “Kita tidak bercakap tentang insiden terpencil,” kata Elder sambil menyifatkannya sebagai ‘krisis sistemik’. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda