HAMILTON, 7 MEI – Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Pelaksanaan Hak Tidak Terbatal Rakyat Palestin kelmarin menuntut sekatan Israel ke atas Gaza ditamatkan serta-merta, sambil memberi amaran bahawa kebuluran dan penularan penyakit semakin memburukkan keadaan jutaan penduduk yang kehilangan tempat tinggal, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jawatankuasa itu mengecam kepungan Israel yang dikenakan sejak 2 Mac lalu sambil berkata penamatan gencatan senjata pada 18 Mac telah mencetuskan pengeboman tanpa henti, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan di wilayah terbabit.
“Sejak 18 Mac, lebih 2,308 rakyat Palestin terkorban, menjadikan jumlah keseluruhan kematian melebihi 52,400 dengan lebih 118,000 cedera sejak 7 Oktober 2023 akibat serangan berterusan dan sekatan,” kata jawatankuasa itu.
Ia menekankan keperluan mendesak untuk akses kemanusiaan, merujuk kenyataan Program Makanan Sedunia (WFP) PBB pada 25 April bahawa bekalan makanan terakhir mereka telah pun dihantar.
“Tindakan Israel yang menyekat sepenuhnya akses bantuan kemanusiaan ke Gaza hanya menambah penderitaan – menyebabkan kebuluran, wabak penyakit dan kekurangan keperluan asas membabitkan lebih 1.9 juta penduduk yang dipindahkan secara paksa dan berulang kali.
“Tindakan sedemikian secara terang-terangan melanggar undang-undang kemanusiaan dan hak asasi antarabangsa, mencabuli prinsip asas kemanusiaan, dan mesti dihentikan serta-merta,” menurut kenyataan itu.
Jawatankuasa itu turut menolak sebarang bentuk pemindahan paksa rakyat Palestin atas nama ‘migrasi sukarela’ atau ‘pembangunan semula’, dengan menyifatkan cadangan sedemikian sebagai tidak berperikemanusiaan dan menyalahi undang-undang.
Ia juga menyambut baik prosiding nasihat di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan menggesa pandangan segera sama ada tindakan Israel menyekat bantuan kemanusiaan merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Jawatankuasa itu turut menyatakan sokongan terhadap Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi pada Jun yang akan dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi bagi menamatkan penjajahan dan merealisasikan negara Palestin merdeka. – Bernama/Anadolu
