Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB desak pembebasan 9 pekerja perubatan diculik di Colombia

    BOGOTA, 9 OKT – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin menggesa pembebasan segera sembilan anggota misi perubatan yang diculik oleh kumpulan bersenjata di selatan Colombia.

    Para petugas kesihatan ditahan oleh ‘kumpulan bersenjata bukan negara’ di La Plata, menurut Pejabat Hak Asasi Manusia PBB di Colombia, tanpa menyatakan bila mereka diculik.

    La Plata terletak di wilayah Hulia, di mana anggota pengganas bekas kumpulan gerila Anggota Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) dipercayai masih aktif.

    “Kami menggesa pembebasan segera dan keselamatan sembilan anggota misi perubatan yang, menurut pihak berkuasa tempatan, didakwa ditahan oleh kumpulan bersenjata bukan kerajaan di La Plata,” tulis UNHRC di media sosial.

    Walaupun majoriti kumpulan gerila FARC menjalani proses pemulihan selepas perjanjian damai 2016, beberapa puak telah melancarkan pertempuran semula dan kini beroperasi sebagai sekurang-kurangnya empat kumpulan pemberontak yang sering berperang antara satu sama lain.

    Kumpulan-kumpulan ini, bersama ELN, kartel Clan del Golfo dan puluhan geng lain, bersaing untuk menguasai negara Amerika Selatan, yang masih menjadi pengeluar kokain terbesar di dunia. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda