GENEVA, 29 NOV – Semua kawasan dunia menyaksikan keadaan air ekstrem pada tahun lalu – banjir dan kemarau – dan berbilion penduduk tidak mempunyai air yang cukup, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Sebahagian besar planet mencatat keadaan lebih kering daripada biasa pada 2021, kata Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) PBB dalam laporan tahunan Sumber Air Global pertamanya.
Laporan itu menilai kesan perubahan iklim, alam sekitar dan masyarakat ke atas sumber air bersih Bumi – bekalan terhad yang semakin meningkat permintaannya – supaya ia dapat diuruskan dengan lebih baik.
“Kesan perubahan iklim sering terasa menerusi air – kemarau yang lebih kerap, banjir lebih ekstrem, hujan bermusim yang turun tidak menentu serta kecairan glasier yang lebih cepat – dengan kesan ke atas ekonomi, ekosistem dan segala aspek kehidupan harian,” kata Ketua WMO, Petteri Taalas.
“Namun tidak adanya pemahaman yang cukup mengenai perubahan dalam pengagihan, kuantiti dan kualiti sumber air tawar.”
Kira-kira 3.6 bilion penduduk berdepan akses air tawar yang tidak cukup sekurang-kurangnya sebulan dalam setahun. Ia diramalkan meningkat kepada lebih lima bilion menjelang 2050, menurut laporan.
Di antara 2001 dan 2018, 74 peratus daripada semua bencana semula jadi mempunyai kaitan dengan air, menurut kajian PBB. Kira-kira 1.9 bilion penduduk tinggal di kawasan di mana air minuman dibekalkan oleh glasier dan salji tetapi glasier berkenaan cair semakin cepat sekarang.
Pihak berkuasa yang terbabit digesa mempercepat pengenalan sistem amaran awal kemarau dan banjir untuk membantu mengurangkan kesan air ekstrem di seluruh dunia. – AFP
