NAIROBI, 29 JULAI – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa pembukaan laluan bantuan kritikal di Tigray, Etiopia susulan krisis makanan yang semakin serius.
Badan dunia itu memberi amaran penduduk di wilayah berkenaan diancam kebuluran kerana sudah kehabisan bekalan makanan.
Akses masuk ke wilayah itu terhalang pada minggu lalu kerana berlaku serangan dan ia adalah satu-satunya laluan penghantaran bantuan yang boleh diakses oleh konvoi Program Makanan Sedunia.
Kira-kira 150 trak berisi makanan dan bekalan lain ditahan di Semera sementara menunggu kelulusan rasmi keselamatan. Sementara itu, 44 trak lain sudah menuju ke Tigray pada Rabu lalu, kata Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) iaitu agensi di bawah PBB dalam satu kenyataan.
Semera adalah ibu negeri wilayah Afar yang bersempadan dengan Tigray di bahagian timur dan menjadi kunci laluan selepas dua jambatan di sepanjang laluan terbabit dimusnahkan pada Jun lalu. Konvoi terakhir berjaya tiba di Mekele, Tigray pada 12 Julai lalu dan OCHA memberi amaran baki bekalan makanan yang tinggal sekarang cuma dapat bertahan sehingga Jumaat ini. – AFP