KABUL, 26 JULAI – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini memberi amaran yang Afghanistan akan menyaksikan jumlah tertinggi kematian orang awam dalam lebih sedekad jika serangan Taliban di seluruh negara itu tidak dihentikan.
Dalam laporan yang dikeluarkan hari ini, korban orang awam telah didokumenkan dalam separuh pertama tahun 2021, kata Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA) yang juga menjangkakan jumlah itu akan mencecah tahap tertinggi dalam satu tahun tunggal sejak misi itu mula melaporkannya lebih sedekad lalu.
Ia juga memberi amaran pasukan Afghan dan pasukan prokerajaan bertanggungjawab atas suku daripada semua korban orang awam.
“Jumlah orang awam Afghanistan yang akan terkorban dan cedera teruk tahun ini akan meningkat jika keganasan tidak dibendung.
“Saya merayu Taliban dan pemimpin Afghan untuk mengambil perhatian terhadap konflik itu dan meredakan pertempuran serta memikirkan kesannya terhadap orang awam,” kata ketua UNAMA, Deborah Lyons dalam satu kenyataan yang disiarkan bersama laporan itu.

Semasa separuh pertama tahun 2021, kira-kira 1,659 orang awam terbunuh manakala 3,254 lagi cedera, menurut laporan UNAMA – 47 peratus peningkatan dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan dalam korban orang awam bertambah mendadak pada Mei dan Jun – tempoh awal serangan semasa Taliban – dengan 783 terkorban manakala 1,609 cedera, tambahnya.
“Apa yang membimbangkan adalah kaum wanita, kanak-kanak lelaki dan perempuan yang terdiri daripada separuh korban awam tersebut,” menurut laporan tersebut.
UNAMA menyalahkan elemen-elemen antikerajaan yang membabitkan korban orang awam adalah sebanyak 64 peratus termasuk sekitar 40 peratus disebabkan oleh Taliban dan hampir 9 peratus oleh kumpulan Islamic State.
Kira-kira 16 peratus korban jiwa disebabkan oleh elemen antikerajaan yang ‘tidak dikenal pasti’.
Namun tentera Afghan dan pasukan prokerajaan bertanggungjawab sebanyak 25 peratus, tambah laporan itu lagi. – AFP