Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB gesa campur tangan antarabangsa di Rakhine

    PHNOM PENH, 10 NOV – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa campur tangan antarabangsa segera di Rakhine, Myanmar, berikutan kemungkinan negeri itu akan terjerumus ke dalam krisis sosial dan ekonomi ekoran kebuluran yang dijangka berlaku tahun depan.

    PBB memberi amaran bahawa kegagalan untuk menyelesaikan krisis yang sedang berlaku di Myanmar, khususnya di Rakhine boleh memberi kesan berantai ke seluruh rantau ini yang mungkin menyaksikan peningkatan dalam pemerdagangan manusia dan migrasi haram.

    Dalam satu laporan bertajuk Rakhine: A Famine in the Making yang dikeluarkan oleh Program Pembangunan PBB minggu lalu, organisasi itu menggambarkan penderitaan rakyat Rakhine di barat Myanmar yang turut menempatkan komuniti minoriti etnik Muslim Rohingya.

    “Rakhine berisiko menghadapi kebuluran yang teruk dalam masa terdekat. Ramalan menunjukkan bahawa pengeluaran makanan domestik hanya memenuhi 20 peratus keperluan negeri itu menjelang Mac-April 2025.

    “Ketika krisis semakin buruk, kekurangan sumber dan peluang akan terus meningkatkan ketegangan dan mencetuskan perpindahan yang lebih besar, dengan migrasi tidak teratur dijangka semakin meningkat.

    “Ini akan memberi kesan bukan sahaja dalam Myanmar tetapi juga di luar sempadannya, dan fenomena ini sudah pun kelihatan,” menurut laporan itu.

    Rakhine menjadi tumpuan antarabangsa sejak 2017 berikutan konflik antara tentera Myanmar dan kumpulan pemberontak Rohingya, yang memaksa lebih sejuta pelarian Rohingya melarikan diri dari rumah mereka.

    Negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Malaysia dan Thailand terbeban dengan kemasukan pelarian selama beberapa dekad, sementara krisis kemanusiaan semakin memburuk dengan ketidakstabilan di Myanmar.

    PBB memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya dua juta orang di negeri ini berisiko terdedah kepada kebuluran jika bantuan antarabangsa gagal sampai tepat pada masanya.

    Selain itu, dianggarkan 511,000 orang yang dipindahkan dalam negara di seluruh Rakhine akan menghadapi kemiskinan yang lebih teruk.

    Menurut laporan itu, kekurangan makanan di Rakhine disebabkan oleh pengurangan drastik dalam penanaman padi pada tahun ini, diikuti dengan sekatan perdagangan dan sekatan terhadap perikanan serta inflasi yang meningkat, terutamanya harga beras.

    “Hanya penyelesaian politik yang menyeluruh terhadap krisis Myanmar akan menangani isu-isu struktur yang mendasari krisis Rakhine, serta masalah yang melibatkan seluruh negara,” menurut laporan itu.

    Sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, Myanmar dengan populasi kira-kira 55 juta penduduk kini berhadapan dengan krisis dan tekanan antarabangsa yang turut menjejaskan ekonominya. – Bernama

    Pelarian Rohingya berkumpul berhampiran pagar semasa lawatan media yang dianjurkan oleh kerajaan, di kawasan tanah tiada pemilik antara Myanmar dan Bangladesh, berhampiran kampung Taungpyolatyar, Maung Daw, utara Negeri Rakhine, Myanmar, pada 29 Jun 2018. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda