Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    PBB gesa Filipina bubar pasukan NTF-ELCAC

    MANILA, 16 NOV – Seorang pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Filipina kelmarin untuk membubarkan pasukan petugas anti-komunis yang telah dituduh menyasarkan pengkritik kerajaan.

    Bekas presiden Rodrigo Duterte menubuhkan Pasukan Petugas Kebangsaan untuk Mengakhiri Konflik Bersenjata Komunis Tempatan (NTF-ELCAC) pada 2018 untuk mengatasi pemberontakan yang telah berlangsung selama beberapa dekad.

    Pasukan petugas itu, termasuk tentera, sering melabelkan aktivis hak asasi manusia, pembela alam sekitar, peguam dan wartawan sebagai pesimpati komunis, tanpa memberikan sebarang bukti.

    Amalan berdekad lamanya, yang dikenali sebagai red-tagging, boleh membawa kepada penangkapan, penahanan atau kematian individu yang disasarkan dan ia semakin meluas di bawah pemerintahan Duterte.

    Ian Fry, pelapor khas PBB tentang promosi dan perlindungan hak asasi manusia dalam konteks perubahan iklim, berkata kerajaan harus ‘membubarkan’ pasukan petugas dan membatalkan undang-undang anti-keganasan.

    Pasukan petugas itu jelas ‘beroperasi di luar mandat asalnya dan memberikan label merah kepada orang ramai daripada kalangan masyarakat dan orang asli’, kata Fry pada akhir lawatan 10 hari ke Filipina.

    Gangguan terhadap ‘pembela hak asasi manusia alam sekitar’ berleluasa, katanya, menggesa siasatan bebas terhadap tindakan pasukan petugas itu.

    “Saya pernah mendengar tentang kes penyeksaan, kehilangan dan pembunuhan di luar mahkamah dan ini sama sekali tidak boleh diterima,” kata Fry kepada pemberita.

    “Nampaknya kerajaan telah hilang kawalan ke atas beberapa organisasi ketenteraannya,” tambahnya. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...