Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB: Hampir 40 juta orang hidap HIV pada 2023

    WASHINGTON, 23 JULAI – Hampir 40 juta orang hidup dengan virus HIV yang menyebabkan AIDS tahun lepas, lebih 9 juta tidak menerima sebarang rawatan dan akibatnya setiap minit ada seseorang yang meninggal dunia daripada punca berkaitan AIDS, menurut laporan baharu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan kelmarin.

    Walaupun kemajuan sedang dilakukan untuk menamatkan pandemik AIDS global, laporan itu menyatakan kemajuan telah menjadi perlahan, pembiayaan semakin berkurangan dan jangkitan baharu semakin meningkat di tiga rantau iaitu Timur Tengah dan Afrika Utara, Eropah Timur dan Asia Tengah dan Amerika Latin.

    Pada 2023, kira-kira 630,000 orang meninggal dunia akibat penyakit berkaitan AIDS, satu penurunan ketara daripada 2.1 juta kematian pada tahun 2004. Namun angka terbaharu adalah lebih dua kali ganda daripada sasaran untuk 2025 iaitu kurang daripada 250,000 kematian, menurut laporan UNAIDS, agensi PBB yang memimpin usaha global untuk menamatkan wabak itu.

    Gambar Canva

    Ketidaksamaan jantina memburukkan lagi risiko untuk kanak-kanak perempuan dan wanita, kata laporan itu, memetik kejadian HIV yang amat tinggi dalam kalangan remaja dan wanita muda di beberapa kawasan Afrika.

    Pengarah Eksekutif UNAIDS, Winnie Byanyima berkata, “Pemimpin dunia berjanji untuk menamatkan pandemik AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030, dan mereka boleh menunaikan janji mereka, hanya jika mereka memastikan respons HIV mempunyai sumber yang diperlukan dan hak asasi semua orang dilindungi.”

    Sebagai sebahagian daripada janji itu, pemimpin berikrar untuk mengurangkan jangkitan HIV baharu tahunan kepada  370,000 menjelang 2025, tetapi laporan itu berkata pada 2023, jangkitan baharu adalah lebih tiga kali ganda lebih tinggi iaitu pada 1.3 juta. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda