Tuesday, March 4, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB jamin bantuan dokumentasi kekejaman Hasina

    DHAKA, 3 MAC – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi jaminan kepada kerajaan peralihan Bangladesh mengenai sokongan teknikal dalam usaha mendokumentasikan kekejaman yang dilakukan terhadap penunjuk perasaan kumpulan Islam tertentu semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, lapor Anadolu Ajansi.

    Ketua Penasihat Muhammad Yunus, yang mengambil alih jawatan selepas Hasina meletak jawatan dan melarikan diri ke India Ogos lalu, menegaskan keperluan untuk mendokumentasikan semua kekejaman yang berlaku.

    “Tanpa dokumentasi yang tepat, sukar untuk mengetahui kebenaran dan memastikan keadilan,” katanya semasa pertemuan dengan Penyelaras Residen PBB di Bangladesh Gwyn Lewis dan Penasihat Kanan Hak Asasi Manusia PBB, Huma Khan, di Dhaka.

    Yunus menggesa agar siasatan dibuat terhadap tindakan keras ke atas penunjuk perasaan Hefazat-e-Islam di Motijheel, Dhaka, kekejaman polis terhadap penyokong pemimpin Jamaat-e-Islami, Delwar Hossain Sayeedi, serta pembunuhan di luar proses undang-undang sepanjang tempoh pemerintahan Hasina.

    Pada 5 hingga 6 Mei 2013, sekurang-kurangnya 61 orang terbunuh dalam tindakan keras pihak berkuasa terhadap puluhan ribu penyokong Hefazat-e-Islam, menurut kumpulan hak asasi tempatan, Odhikar.

    Sementara itu, sekurang-kurangnya 78 orang terbunuh dalam pertempuran antara penyokong Jamaat-e-Islami dengan polis pada 2013 susulan keputusan Tribunal Jenayah Antarabangsa terhadap Sayeedi, yang meninggal dunia di hospital Ogos lalu.

    Tribunal itu turut dikritik oleh kumpulan hak asasi antarabangsa kerana didakwa tidak menepati piawaian perbicaraan yang adil.

    Lewis berkata, PBB bersedia memberikan sokongan teknikal bagi membina kapasiti Bangladesh dalam dokumentasi insiden itu. “Ini adalah sebahagian daripada proses pemulihan dan usaha mencari kebenaran,” katanya. – Bernama

    Orang ramai berkumpul selepas penunjuk perasaan menyerbu Muzium Memorial Bangabandhu, kediaman Sheikh Mujibur Rahman, presiden pertama Bangladesh yang merdeka dan bapa kepada Perdana Menteri Bangladesh yang digulingkan, Sheikh Hasina, di Dhanmondi 32, Dhaka pada 6 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda