Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB jangka lebih ramai pekerja bantuan terbunuh

    BERLIN, 20 OGOS – Rekod pekerja bantuan yang terbunuh dalam konflik di seluruh dunia tahun lepas adalah lebih separuh selepas perang Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober lalu dan tahun ini mungkin menjadi lebih ramai, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.

    280 pekerja bantuan dari 33 negara yang terkorban pada 2023 adalah lebih daripada dua kali ganda angka tahun sebelumnya iaitu 118, kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB yang dikenali sebagai OCHA dalam laporan Hari Kemanusiaan Sedunia.

    Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menulis dalam X bahawa penghormatan kepada pekerja dalam aktiviti kemanusiaan yang terkorban dalam tahun paling tinggi kematian adalah tidak mencukupi.

    “Di Sudan & banyak tempat lain, pekerja bantuan diserang, dibunuh, dicederakan & diculik. Kami menuntut dihentikan sewenang-wenangnya supaya pelaku menghadapi keadilan,” kata ketua PBB itu.

    OCHA berkata tahun ini “mungkin akan menunjukkan angka yang lebih dahsyat,” dengan 172 pekerja bantuan terbunuh setakat 7 Ogos, menurut akaun sementara dari Pangkalan Data Keselamatan Pekerja Bantuan.

    Lebih 280 pekerja bantuan telah terbunuh dalam perang di Gaza yang kini dalam bulan ke-11 terutamanya dalam serangan udara. Majoriti mereka adalah warga Palestin yang bekerja untuk agensi PBB membantu pelarian Palestin dikenali sebagai UNRWA, menurut OCHA. Ia berkata bahawa “tahap keganasan yang melampau di Sudan dan Sudan Selatan” juga telah menyumbang kepada jumlah kematian pada tahun ini dan tahun lepas.

    Pemangku ketua kemanusiaan PBB, Joyce Msuya, berkata dalam satu kenyataan bahawa “normalisasi keganasan terhadap pekerja bantuan dan kekurangan akauntabiliti adalah tidak boleh diterima, tidak wajar dan sangat berbahaya untuk operasi bantuan di mana-mana.”

    Dalam surat kepada 193 negara anggota PBB, 413 organisasi kemanusiaan di seluruh dunia berkata: “Permusuhan kejam yang kita lihat dalam pelbagai konflik di seluruh dunia telah mendedahkan kebenaran yang mengerikan: Kita hidup dalam era tanpa hukuman.”

    Organisasi bantuan itu merayu kepada semua negara, masyarakat antarabangsa yang lebih luas dan semua pihak yang terlibat dalam konflik untuk melindungi orang awam dan pekerja bantuan dan mesti bertanggungjawab.

    Hari Kemanusiaan Sedunia memperingati pengeboman pengganas pada 19 Ogos 2003 ke atas pejabat PBB di Hotel Canal di Baghdad yang membunuh 22 kakitangan PBB termasuk utusan tertinggi PBB ke Iraq, Sergio Viera de Mello, seorang diplomat Brazil.

    Pada satu majlis menurunkan bendera PBB di ibu pejabat kelmarin, berpuluh-puluh kakitangan PBB semasa dan saudara-mara beberapa mangsa berdiri dalam penghormatan senyap untuk memperingati mereka yang terkorban, begitu juga dengan ramai yang menonton di seluruh dunia. – AP

    Bahan bantuan dari helikopter PBB akan dimuatkan dalam sebuah trak oleh pekerja-pekerja bantuan di kem Yida, Sudan Selatan pada September 2012. PBB ramalkan lebih ramai pekerja terkorban tahun ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda