BANGKOK, 12 JULAI – Junta Myanmar didakwa cuba memusnahkan negara yang tidak dapat mereka kuasai, kata Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke negara itu, Tom Andrews, kelmarin.
Pertempuran antara gabungan kumpulan bersenjata etnik minoriti dan tentera telah meruntuhkan gencatan senjata yang diatur oleh Beijing pada Januari lalu.
Gencatan senjata itu telah menghentikan sementara pertempuran meluas di bahagian utara negara Asia Tenggara tersebut sejak rampasan kuasa tentera yang menamatkan pemerintahan demokrasi pada tahun 2021.
“Junta kini dalam keadaan terdesak, kehilangan anggota, kemudahan ketenteraan dan secara harfiah kehilangan kawalan,” kata Andrews dalam satu taklimat kepada badan keselamatan negara Thailand.
Beliau seterusnya berkata, “Nampaknya junta cuba memusnahkan sebuah negara yang gagal mempunyai kawalan.”
Andrews berkata tindak balas tentera terhadap kekalahan di medan perang adalah untuk menyerang orang awam, sambil menambah bahawa jumlah serangan tentera ke atas sekolah, hospital dan biara telah meningkat secara mendadak sejak enam bulan lalu.
Beliau menyatakan, “Risiko pendekatan ini sangatlah besar.’’
Di samping itu, selepas beberapa hari pertempuran, tentera etnik Myanmar merampas sebuah bandar di sepanjang lebuh raya perdagangan utama ke wilayah Yunnan China awal minggu ini daripada tentera. – AFP


