AMERIKA SYARIKAT, 12 JUN – Keganasan terhadap kanak-kanak dalam konflik bersenjata mencapai ‘tahap melampau’ pada 2023, khususnya di Gaza dan Sudan, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diperoleh AFP, kelmarin.
Laporan tahunan ‘Kanak-kanak dalam Konflik Bersenjata’ PBB meletakkan tentera Sudan serta Pasukan Sokongan Rapid (RSF) dalam senarai hitam kerana ‘membunuh dan menyeksa kanak-kanak serta serangan ke atas sekolah dan hospital’.
Juga ditambah dalam senarai hitam ialah Hamas dan sayap bersenjata Jihad Islam Palestin atas serangan 7 Oktober ke atas Israel, serta tentera Israel kerana kempen membalas dendam terhadap Hamas di Gaza.
“Pada 2023, keganasan terhadap kanak-kanak dalam konflik bersenjata mencapai tahap ekstrem, dengan peningkatan mengejutkan sebanyak 21 peratus dalam pencabulan serius,” kata laporan Setiausaha Agung, Antonio Guterres, yang akan diterbitkan pada Khamis.
PBB mengesahkan 30,705 pencabulan yang dilakukan terhadap kanak-kanak tahun lepas, termasuk 5,301 pembunuhan, 6,348 kecederaan, 8,655 kes kanak-kanak direkrut dan digunakan dalam konflik, 5,205 tidak diberikan akses kemanusiaan dan 4,356 penculikan.
“Kami tidak pernah mengesahkan begitu banyak pencabulan terhadap kanak-kanak seperti tahun lepas,” kata seorang pegawai kanan PBB yang tidak mahu namanya disiarkan.
Pada tahun 2023, “kanak-kanak menanggung kesan krisis yang berlipat ganda dan meningkat yang ditandakan oleh pengabaian sepenuhnya hak kanak-kanak, terutamanya hak untuk hidup”, menurut laporan itu.
Konflik di Timur Tengah telah membawa kepada peningkatan 155 peratus dalam peng-aniayaan serius terhadap kanak-kanak, kata laporan itu. – AFP


