GENEVA, 24 JUN – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini mengecam tindakan Israel yang didakwa menggunakan ‘makanan sebagai senjata’ di Gaza — satu jenayah perang — dan menggesa angkatan tentera Israel agar berhenti menembak orang awam yang cuba mendapatkan makanan.
“Mekanisme bantuan kemanusiaan yang dikawal oleh tentera Israel bertentangan dengan piawaian antarabangsa dalam pengagihan bantuan,” kata Pejabat Hak Asasi Manusia PBB dalam kenyataan bertulis yang diedarkan sebelum satu taklimat media.
“Penduduk Gaza yang terdesak dan kelaparan terus berhadapan dengan pilihan tidak berperikemanusiaan, sama ada mati kebuluran atau mempertaruhkan nyawa untuk mendapatkan makanan.”
Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), yang disokong oleh Amerika Syarikat dan Israel, memulakan operasi pengagihan makanan di Gaza pada 26 Mei selepas Israel memutuskan sepenuhnya bekalan ke wilayah Palestin yang diduduki selama lebih dua bulan, mencetuskan amaran kebuluran besar-besaran.
PBB dalam laporan pada Mei menyatakan bahawa 100 peratus penduduk di wilayah yang dikepung itu berada dalam risiko kebuluran.

PBB dan beberapa organisasi bantuan utama enggan bekerjasama dengan GHF – satu inisiatif swasta rasmi yang mempunyai sumber pembiayaan tidak telus – atas kebimbangan bahawa ia diwujudkan bagi menyokong matlamat ketenteraan Israel.
Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Thameen Al-Kheetan memberi amaran dalam taklimat tersebut mengenai ‘suasana kacau-bilau di sekitar lokasi pengagihan makanan’ oleh GHF.
Sejak organisasi itu beroperasi, “tentera Israel telah membedil dan menembak rakyat Palestin yang cuba mendekati lokasi pengagihan, mengakibatkan ramai terkorban,” katanya.
Beliau turut merujuk laporan bahawa ‘lebih 410 rakyat Palestin telah terbunuh akibat insiden tersebut, manakala sekurang-kurangnya 93 yang lain juga dilaporkan terbunuh oleh tentera Israel ketika cuba menghampiri beberapa konvoi bantuan oleh PBB dan pertubuhan kemanusiaan lain.’
“Sekurang-kurangnya 3,000 rakyat Palestin cedera dalam insiden berkenaan,” tambahnya. “Setiap pembunuhan ini mesti disiasat dengan segera dan bebas, dan pihak yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.”
Kheetan turut memberi amaran sistem sedia ada ‘membahayakan orang awam dan menyumbang kepada situasi kemanusiaan yang semakin parah di Gaza.’
“Makanan dijadikan senjata terhadap orang awam, selain menyekat atau menghalang akses mereka kepada perkhidmatan penting untuk kelangsungan hidup, merupakan satu jenayah perang dan dalam keadaan tertentu, boleh merangkumi unsur jenayah lain di bawah undang-undang antarabangsa,” tegasnya. – AFP