Saturday, January 4, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB kecam operasi ketenteraan Israel sasarkan hospital di Gaza

    HAMILTON, KANADA, 31 DIS – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin mengecam operasi ketenteraan Israel yang menyasarkan hospital di Gaza, termasuk Hospital Kamal Adwan yang kini tidak lagi berfungsi, lapor agensi Anadolu.

    “Kami menegaskan pendirian kami dengan mengutuk sebarang tindakan yang menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam, termasuk hospital.

    “Kami berulang kali menyeru agar tempat-tempat ini dihormati sebagai kawasan selamat di mana orang ramai mendapatkan bantuan perubatan,” kata jurucakap bersekutu kepada ketua PBB, Florencia Soto Nino kepada pemberita dalam satu sidang media.

    Ketika ditanya mengenai penahanan Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr Hussam Abu Safiya di Gaza, Nino berkata, “Mana-mana individu yang merupakan orang awam yang tidak bersalah dan berusaha membantu orang lain tidak seharusnya ditahan.

    “Saya fikir kami sudah lama membincangkan perkara ini – tiada tempat selamat di Gaza,” katanya, sambil menambah PBB bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menyokong usaha untuk memastikan keselamatan orang awam, termasuk pengarah hospital itu.

    Memetik Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Nino berkata 10 pesakit dipindahkan dari Hospital Kamal Adwan, dengan empat daripada mereka ditahan oleh pasukan Israel di pusat pemeriksaan semasa meninggalkan kawasan itu.

    “Tujuh pesakit, bersama 15 penjaga dan petugas kesihatan masih berada di hospital terbabit yang kini mengalami kerosakan teruk dan tidak lagi mampu menyediakan rawatan perubatan.

    “Pasukan kami turut melaporkan hospital itu kini tiada bekalan air, elektrik dan kemudahan sanitasi,” katanya.

    Nino juga menegaskan sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan terus berlanjutan, mengakibatkan operasi bantuan lumpuh ketika para keluarga amat memerlukan makanan, tempat perlindungan dan pakaian, terutama sekali dalam keadaan musim sejuk yang memburukkan lagi keadaan mereka. – Bernama

    Mayat lima wartawan yang terbunuh berikutan serangan udara Israel ke atas kenderaan penyiaran di Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza, disembahyangkan berhampiran Hospital Al-Awda pada 26 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda