Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB kecam serangan bunuh diri di Lahore

    PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, 25 Julai – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu pihak yang bertanggungjawab dalam serangan di Lahore, Pakistan yang menyebabkan 26 terbunuh manakala 49 yang lain cedera, dibawa ke muka pengadilan, lapor agensi berita Xinhua.

    Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres juga mengecam sekeras-kerasnya insiden serangan bunuh diri yang berlaku di kawasan pasar yang penuh sesak dengan orang awam di timur Lahore, tengah hari semalam.

    Timbalan jurucakap Guterres, Farhan Haq, dalam satu kenyataan berkata Setiausaha Agung PBB itu menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa terlibat.

    Katanya Guterres juga menyokong langkah yang diambil kerajaan Pakistan dalam memerangi keganasan dan kumpulan pelampau, selagi ia selari dengan norma hak asasi manusia. Sementara itu, Menteri Kesihatan wilayah Punjab, Khawaja Salman Rafique berkata serangan bunuh diri itu menyebabkan 26 terbunuh, termasuk sembilan anggota polis.

    Katanya kesemua 49 mangsa yang cedera dirawat di tiga hospital berasingan di bandar itu.

    Bagaimanapun, menurut sumber hospital, angka kematian mungkin meningkat memandangkan 15 daripada mangsa yang cedera kini dalam keadaan kritikal. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda