Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB komited sokong Afghanistan

    KABUL, 29 Jan – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih komited untuk menyokong Afghanistan dan rakyatnya, menurut seorang pegawai kanan PBB yang mengadakan lawatan.

    Penolong Setiausaha Agung bagi Hal Ehwal Politik, Miroslav Jenca, yang menamatkan lawatan empat hari pada Jumaat lalu berkata, “PBB bersedia membantu dalam sebarang usaha untuk menyokong proses damai Afghanistan sendiri dan proses damai yang diterajui Afghanistan.

    Jenca telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Afghanistan Mohammad Ashraf Ghani, Ketua Eksekutif Abdullah Abdullah, Menteri Luar Salahuddin Rabbani dan antara lainnya juga para pesuruhjaya Afghanistan yang baru dilantik baru-baru ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA) pada Jumaat lalu.

    Pegawai PBB itu menekankan pentingnya kerjasama serantau untuk mencapai keamanan dan kemakmuran berkekalan.

    Jenca telah membincangkan komitmen Afghanistan bagi perpaduan dan pembaharuan, yang telah meraih sokongan jangka panjang dari rakan-rakan antarabangsa dalam keselamatan dan pembangunan, menurut kenyataan itu lagi.

    Jenca dipetik sebagai berkata “Sokongan ini memberikan peluang penting bagi memastikan Afghanistan boleh mengorak langkah ke arah kestabilan, kebertanggungjawaban dan kemandirian lebih besar.

    “PBB mengongsikan harapan bagi Afghanistan yang aman dan makmur, dan tetap komited untuk menyokong kemajuan kerajaan untuk mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan situasi wanita Afghanistan yang masih terdedah pada bahaya,” menurutnya lagi.

    Kenyataan itu juga menyatakan bahawa Jenca juga mengulangi gesaan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres untuk menjadikan tahun 2017 sebagai tahun keamanan dan menggunakan sepenuhnya diplomasi pencegahan. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda