SEOUL, 29 SEPT – Korea Utara melanggar sekatan antarabangsa bertujuan mengawal program nuklearnya dengan melanjutkan had ke atas import petroleum dan menghantar pekerjanya ke luar negara, termasuk bekas pemain bola sepak Juventus, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pyongyang adalah tertakluk kepada pelbagai sekatan yang dikenakan sejak 2017 yang mengehadkan import minyak dan pengharaman eksport arang batu, ikan dan tekstil.
Namun ia telah meneruskan dengan pembangunan nuklear dan senjata peluru berpandu balistik, menurut penganalisis, meskipun mesyuarat di antara pemimpin Kim Jong Un dan Presiden AS Donald Trump.
Majlis Keselamatan PBB berkata semalam had 500,000 tong yang dikenakan ke atas import produk petroleum telah dilanggar dalam lima bulan pertama 2020.
Satu laporan oleh panel antara kerajaan berkata peng-hantaran ke negara autoritarian itu ‘jauh melebihi’ had yang dikenakan, berdasarkan ‘gambar, data dan pengiraan.’
“Republik Demokratik Rakyat Korea dan kapal asing dan pemilik mereka terus menjalankan aktiviti pengelakan ‘untuk mengimport minyak,’ menurut pakar PBB, menggunakan nama rasmi Korea Utara.
Laporan tidak berkata negara yang mana yang telah mengeksport ke Korea Utara tetapi penghantaran juga termasuk kereta mewah dan alkohol.
Laporan PBB berkata Korea Utara ‘terus melanggar resolusi Majlis Keselamatan menerusi eksport arang batu, walaupun ia menggantung eksport tersebut untuk sementara waktu di antara bulan Januari dan Mac 2020.’ – AFP