Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB kurang dana bantu golongan kebuluran

    ROM, 18 NOV – Program Makanan Dunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini memberi amaran bahawa pemotongan dana bermakna agensi itu akan bergelut untuk memberi makanan kepada walaupun hanya sepertiga daripada 318 juta orang yang dijangka menghadapi kebuluran teruk pada 2026.

    “Pengurangan dalam dana kemanusiaan global memaksa WFP memfokuskan bantuan makanan kepada kira-kira sepertiga daripada mereka yang memerlukan,” menyasarkan 110 juta individu paling terdedah, menurut kenyataan agensi itu.

    Kosnya dianggarkan berjumlah AS$13 bilion, namun WFP memberi amaran bahawa ‘ramalan dana semasa menunjukkan WFP mungkin hanya menerima hampir separuh daripada sasaran tersebut.’

    Penyumbang terbesar WFP ialah Amerika Syarikat yang, di bawah Presiden Donald Trump, telah memotong bantuan luar negara termasuk kepada agensi PBB. Penyumbang besar lain, termasuk beberapa negara Eropah, juga telah mengurangkan bajet kemanusiaan mereka.

    Jumlah 318 juta orang yang menghadapi kebuluran akut adalah lebih dua kali ganda berbanding angka yang dicatatkan pada 2019, akibat konflik, cuaca ekstrem dan ketidakstabilan ekonomi, menurut WFP.

    Agensi PBB tahun ini mengisytiharkan kebuluran di Gaza dan beberapa kawasan Sudan, yang menurut Pengarah Eksekutif WFP, Cindy McCain, ‘sama sekali tidak boleh diterima pada abad ke-21.’

    Dalam kata pengantar laporan WFP 2026 Global Outlook, dia berkata tindak balas dunia ‘masih perlahan, berselerak dan kekurangan pembiayaan.’

    “Bantuan global kini hanya menampung kurang daripada separuh keperluan keseluruhan, dengan pengurangan besar dalam bantuan makanan. Hampir semua operasi terpaksa mengurangkan makanan dan wang tunai, serta mengutamakan kumpulan rentan yang menerima bantuan,” tulisnya.

    “Pada masa sama, serangan terhadap petugas bantuan meningkat, menunjukkan pengabaian yang semakin membimbangkan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.” – AFP

    Seorang budak lelaki bersama ibunya bergelut mengangkat beg jagung yang berat ke dalam troli di pusat pengagihan di kem orang dipindahkan dalaman Bentiu, Negeri Unity, Sudan Selatan, pada 6 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda