Wednesday, March 26, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB kurangkan kakitangan di Gaza

    HAMILTON, 25 MAC – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres kelmarin mengumumkan pengurangan kehadiran PBB di Gaza berikutan peningkatan keganasan Israel dan ancaman terhadap petugas kemanusiaan, termasuk serangan ke atas kompleks PBB minggu lalu yang meragut nyawa seorang kakitangannya.  

    “Dalam tempoh seminggu lalu, Israel melancarkan serangan dahsyat ke atas Gaza, mengorbankan ratusan orang awam termasuk petugas PBB, tanpa sebarang bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk sejak awal Mac,” kata pejabat jurucakap Guterres dalam satu kenyataan yang dipetik Anadolu Ajansi.  

    Walaupun menegaskan bahawa PBB, ‘tidak akan meninggalkan Gaza’, Guterres telah membuat keputusan sukar untuk mengurangkan kehadiran organisasi itu ketika keperluan kemanusiaan semakin mendesak dan kebimbangan terhadap keselamatan orang awam meningkat di wilayah itu.

    “PBB tetap komited untuk meneruskan penyampaian bantuan yang menjadi keperluan utama penduduk Gaza,” menurut kenyataan PBB.

    Israel menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza selama lebih tiga minggu – tempoh terpanjang sejak 7 Oktober 2023, ketika serangan besar-besaran bermula.  

    “Pegawai Israel berkata mereka akan meneruskan operasi ketenteraan di Gaza. Berdasarkan maklumat sedia ada, serangan ke atas kompleks PBB di Deir Al Balah pada 19 Mac berpunca daripada tembakan kereta kebal Israel,” katanya.  

    Guterres mengutuk keras serangan itu yang mengorbankan seorang kakitangan PBB dari Bulgaria dan mencederakan enam yang lain, sambil menegaskan bahawa lokasi kompleks itu telah diketahui pihak bertelagah.  

    Beliau turut menuntut siasatan menyeluruh dan bebas terhadap serangan Israel itu serta mengingatkan semua pihak bahawa mereka, “terikat dengan undang-undang antarabangsa untuk melindungi kekebalan mutlak premis PBB.”  

    “Semua negara mesti menggunakan pengaruh mereka untuk menghentikan konflik dan memastikan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa – sama ada melalui tekanan diplomatik, ekonomi atau usaha menentang budaya yang bebas daripada hukuman,” kata Guterres sambil menggesa agar penderitaan di Gaza dihentikan.  

    Sementara itu, jurucakap PBB Stephane Dujarric memberitahu bahawa pengurangan melibatkan kira-kira satu pertiga jumlah kakitangan pada minggu ini dan berkemungkinan lebih banyak dalam beberapa hari akan datang.  

    Beliau menjelaskan bahawa terdapat sekitar 100 kakitangan antarabangsa di Gaza dan pengurangan ini dilakukan atas faktor keselamatan serta operasi.  

    Antara agensi PBB yang terlibat termasuk Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), Program Makanan Sedunia (WFP), Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Pejabat Perkhidmatan Projek PBB (UNOPS), Dana Kependudukan PBB (UNFPA), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Program Pembangunan PBB (UNDP).  – Bernama/Anadolu

    Mayat seorang pekerja PBB dibawa ke hospital al-Aqsa selepas terkorban dalam letupan di Deir al-Balah, Gaza pada 19 Mac 2025. PBB kurangkan kakitangan di Gaza. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda