NEW YORK, 29 Mac – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) semalam mengutuk serangan peluru berpandu Huthi ke atas Arab Saudi yang dilancarkan pada Ahad, lapor agensi berita China Xinhua memetik satu kenyataan.
Anggota UNSC mengutuk ‘sekeras-kerasnya’ beberapa serangan peluru berpandu Huthi, termasuk penggunaan peluru berpandu balistik, menyasarkan beberapa bandar dalam Kerajaan Arab Saudi, termasuk ibu negaranya Riyadh, yang mengancam kawasan awam dan mengakibatkan sekurang-kurangnya satu kematian.
“Serangan sedemikian menimbulkan ancaman keselamatan nasional yang serius terhadap Kerajaan Arab Saudi serta satu ancaman lebih luas kepada keselamatan serantau,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) digesa melaksanakan sepenuhnya embargo senjata api seperti yang dikehendaki oleh resolusi 2216 (2015) UNSC dan melahirkan kebimbangan mereka terhadap laporan berhubung pencabulan embargo senjata api yang berterusan. – Bernama
