GENEVEA, 25 APRIL — Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memulakan kempen kelmarin untuk memulihkan kemerosotan dalam vaksinasi kanak-kanak akibat pandemik yang mencetuskan peningkatan wabak penyakit seperti campak dan polio.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan agensi kanak-kanak PBB, UNICEF, bersama-sama dengan Gavi, Yayasan Gates dan rakan kongsi lain melancarkan The Big Catch-up, untuk meningkatkan vaksinasi kanak-kanak di seluruh dunia.
“Jutaan kanak-kanak dan remaja, khususnya di negara berpendapatan rendah, telah terlepas daripada vaksinasi yang menyelamatkan nyawa, manakala wabak penyakit membawa maut semakin meningkat,” kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
“Mengejar perkembangan menjadi keutamaan. Tiada kanak-kanak sepatutnya mati akibat penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin.”
Usaha itu dilakukan selepas kempen imunisasi penting menurun di lebih daripada 100 negara ketika wabak COVID-19 menular, menyebabkan perkhidmatan kesihatan terbeban, klinik ditutup serta menjejas import dan eksport bekalan perubatan.
Komuniti juga mengalami sekatan yang membataskan perjalanan dan akses kepada perkhidmatan.
Pada 2021, lebih daripada 25 juta kanak-kanak terlepas sekurang-kurangnya satu vaksin, kata WHO, dengan 18 juta daripada mereka kehilangan vaksin rutin sepenuhnya.
Akibatnya, “wabak penyakit yang boleh dicegah, termasuk campak, difteria, polio dan demam kuning sudah semakin berleluasa dan teruk,” kata WHO. – AP