GENEVA, 15 APRIL – Lebih lima juta orang telah melarikan diri dari Ukraine sejak serangan Rusia pada 24 Februari, menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
UNHCR, agensi pelarian PBB berkata 4,796,245 penduduk Ukraine telah melarikan diri dari sempadan, sementara Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) PBB berkata hampir 215,000 rakyat negara ketiga juga telah melarikan diri ke negara jiran.
Penghijrahan tersebut merupakan krisis pelarian paling teruk sejak Perang Dunia Kedua.
Angka hari ini daripada UNHCR meningkat 59,774 berbanding angka yang dikeluarkan semalam.
Lebih 2.7 juta pelarian Ukraine – hampir enam dalam 10 yang telah meninggalkan negara sejak perang bermula – telah melarikan diri ke Poland. Lebih daripada 725,000 telah sampai ke Romania.
Angka UNHCR menunjukkan hampir 645,000 warga Ukraine melarikan diri pada Februari, dengan hampir 3.4 juta berbuat demikian pada Mac dan lebih 760,000 meninggalkan negara setakat ini bulan ini.
Wanita dan kanak-kanak menyumbang 90 peratus daripada mereka yang telah melarikan diri dari Ukraine, dengan lelaki berusia 18 hingga 60 tahun yang layak memasuki tentera tidak dapat meninggalkan negara.
Hampir dua pertiga daripada kesemua kanak-kanak Ukraine telah dipaksa meninggalkan rumah mereka, termasuk mereka yang masih berada dalam negara. – AFP