Saturday, July 26, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB: Malnutrisi bawa maut dalam kalangan kanak-kanak di Gaza capai tahap darurat

    HAMILTON, 24 JULAI – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kelmarin bahawa kanak-kanak di Semenanjung Gaza sedang menghadapi tahap ‘darurat’ kebuluran dan kekurangan zat makanan, ketika pihak berkuasa Israel terus menyekat penghantaran bantuan ke wilayah yang terkepung itu, lapor agensi Anadolu (AA).

    “Malnutrisi yang membawa maut dalam kalangan kanak-kanak kini mencapai tahap bencana,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric pada sidang media, sambil menambah bahawa “UNICEF mengingatkan kita bahawa kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan teruk adalah lebih 10 kali ganda berisiko untuk meninggal dunia berbanding kanak-kanak yang sihat.”

    Dujarric menegaskan bahawa operasi kemanusiaan PBB di Gaza berada di bawah ‘tekanan hebat’, dengan pekerja bantuan menghadapi risiko keselamatan, lintasan sempadan yang disekat serta bekalan kritikal yang dilewatkan atau dinafikan kemasukan.

    “Kami bersedia untuk merebut peluang gencatan senjata bagi meningkatkan operasi kemanusiaan secara besar-besaran di seluruh Semenanjung Gaza,” katanya sambil menekankan ‘Israel mesti membenarkan penghantaran bantuan secara selamat dan tanpa halangan serta membenarkan kemasukan peralatan kritikal dan bahan api’ bagi ‘membuat perubahan sebenar’ di lapangan.

    Beliau turut menggesa agar ‘semua lintasan dibuka dan pergerakan di sepanjang laluan bekalan utama dipulihkan’ dan memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dengan berkata, “Kami dan rakan kongsi kami melaporkan bahawa pekerja bantuan pengsan akibat kelaparan dan keletihan.”

    “Kebuluran besar-besaran kini merebak di seluruh Semenanjung Gaza, dengan rakan sekerja dan mereka yang dibantu menjadi semakin lemah,” kata Dujarric.

    Beliau turut menyampaikan amaran dari Tabung Penduduk PBB (UNFPA) berhubung krisis kesihatan yang semakin meruncing melibatkan wanita hamil dan anak damit baru lahir di Gaza, berikutan kelumpuhan sistem penjagaan kesihatan dan peningkatan mendadak dalam kematian ibu bersalin. – Bernama

    Rakyat Palestin berkumpul untuk menerima hidangan panas di dapur amal di kawasan Mawasi Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza pada 22 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda