Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB peroleh AS$4.8 bilion tutup jurang digital

    GENEVA, 28 MEI – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin berkata bahawa ia telah memperoleh AS$4.8 bilion dalam ikrar baharu untuk menutup jurang digital global, menjadikan jumlah ikrar kepada lebih AS$50 bilion.

    Kira-kira 2.6 bilion orang, atau satu pertiga daripada populasi global, kekal berada di luar talian pada 2023, menurut data daripada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa, agensi telekomunikasi PBB.

    “Menutup jurang digital memerlukan usaha berpasukan, dan hari ini kami memperoleh kemenangan besar untuk kesalinghubungan global,” kata ketua ITU, Doreen Bogdan-Martin dalam satu kenyataan.

    ITU telah mengetuai usaha untuk membetulkan keadaan di mana satu pertiga daripada penduduk dunia tiada sambungan Internet, dan tidak mendapat kelebihan yang boleh teknologi digital berikan.

    Pada 2021, agensi PBB yang berpangkalan di Geneva melancarkan Gabungan Digital Partner2Connect, dengan tujuan menggunakan perkongsian awam-swasta untuk membantu meningkatkan penggunaan digital dalam komuniti yang paling sukar berhubung di dunia.

    Ia telah menetapkan sasaran untuk mengumpul AS$100 bilion menjelang 2026, dan ITU mengumumkan dengan bangga bahawa kini lebih separuh daripada matlamat itu telah diperoleh, dengan jumlah ikrar sebanyak AS$50.96 bilion setakat ini.

    Ikrar baharu itu diumumkan pada hari pertama Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Maklumat (WSIS) tahun ini, yang dianjurkan oleh ITU di Geneva pada minggu ini. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda