Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB peruntuk AS$1 juta tangani wabak kolera di Chad

    NEW YORK, 8 OKT – Penyelaras Bantuan Kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Tom Fletcher, memperuntukkan AS$1 juta daripada Dana Tindak Balas Kecemasan Pusat (CERF) bagi menangani segera wabak kolera yang meragut nyawa di Chad, menurut jurucakap PBB kelmarin.

    Peruntukan baharu itu, yang melengkapkan AS$3 juta yang diperuntukkan sebelum ini bagi menangani wabak kolera di Chad, bertujuan membendung penularan penyakit tersebut dengan menambah akses kepada air bersih dan sanitasi, menyediakan sokongan perubatan serta memperkukuh penglibatan komuniti untuk meningkatkan kesedaran mengenai risiko dan langkah pencegahan, kata jurucakap Setiausaha Agung PBB Stephane Dujarric dalam taklimat harian.

    Sehingga Ahad, lebih 2,600 kes disyaki dan hampir 150 kematian dilaporkan di negara itu, dengan wabak berkenaan menjejaskan wilayah timur Ouaddai dan Sila, yang menempatkan sejumlah besar pelarian akibat konflik di negara jiran Sudan serta wilayah tengah Guera, kata Dujarric.

    Angka berkenaan menunjukkan potensi kadar kematian kes hampir 6 peratus, jauh melebihi paras kecemasan 1 peratus seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tambahnya.

    Setakat tahun ini, Dana Tindak Balas Kecemasan Pusat menyalurkan AS$11 juta bagi mengurangkan kesan dan menangani wabak kolera di lima negara Afrika, termasuk Chad, menurut jurucakap itu. – Bernama

    Seorang kanak-kanak sedang bermain air di Wilayah Sila, Chad. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda