Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    PBB, rakan kongsi hulur bantuan untuk Haiti

    NEW YORK, 7 JUN – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama rakan kongsinya bersedia untuk menyediakan bantuan kecemasan untuk Haiti yang dilanda gempa bumi serta banjir dan tanah runtuh, kata jurucakap PBB semalam.

    “Kami amat sedih dengan kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda dan penderitaan rakyat Haiti akibat gempa bumi,” kata Stephane Dujarric yang juga jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. Beliau berkata: “Setiausaha Agung mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap agar mereka yang cedera segera sembuh.”

    Gempa bumi berkekuatan 5.5 pada skala Richter melanda bandar selatan Jeremie di wilayah Grand’Anse pada pagi kelmarin. Kawasan itu sebelum ini sudah pun terjejas akibat hujan lebat pada hujung minggu yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

    Gegaran gempa itu dilaporkan telah menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang meninggal dunia dan 36 orang yang lain cedera.

    Dujarric berkata PBB bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Haiti dan rakan kongsi lain untuk membantu mengurangkan penderitaan rakyat yang memerlukan bantuan.

    Menurut Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), mereka sedang bekerjasama dengan Dana Kanak-Kanak PBB, Program Makanan Sedunia (WFP) dan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi bagi menyokong komuniti yang terjejas teruk di sekitar bandar raya Port-au-Prince. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...