Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB rayu AS$430 juta bantu penduduk terdesak Zimbabwe

    ZIMBABWE, 10 MEI – Kira-kira separuh daripada penduduk Zimbabwe memerlukan makanan dan air dengan segera selepas kemarau terburuk melanda negara itu dalam empat dekad, kata agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin semasa ia melancarkan rayuan untuk mendapatkan AS$430 juta bagi membantu mereka yang paling memerlukan.
     
    Kira-kira 7.6 juta daripada 15 juta penduduk negara itu memerlukan bantuan kemanusiaan ‘demi kelangsungan hidup’ kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB. 
     
    Namun agensi itu meminta penderma untuk membantu 3.1 juta orang di kawasan yang paling terjejas untuk tahun akan datang, kata Edward Matthew Kallon, penyelaras kemanusiaan PBB.
     
    Kemarau yang dicetuskan oleh fenomena cuaca El Nino melanda sebahagian kawasan selatan Afrika dan mendorong penduduk dan haiwan amat memerlukan makanan dan air. Zimbabwe, sebuah negara yang bergantung kepada pertanian dan pengeksport makanan adalah antara yang paling terjejas akibat kemarau itu.
     
    Hasil tanaman jagung asas untuk musim 2023-24 dianggarkan berjumlah 700,000 tan, iaitu turun 70 peratus daripada musim lalu. Zimbabwe memerlukan 2.2 juta tan setiap tahun untuk memenuhi permintaan manusia dan ternakan, menurut anggaran tanaman kerajaan.
     
    Rayuan PBB menyatakan bahawa bantuan akan terdiri daripada bantuan makanan, pemindahan wang tunai dan pembinaan lubang gerudi berkuasa solar yang akan menyediakan air minuman untuk orang ramai dan ternakan yang kelaparan seperti lembu yang merupakan sumber utama makanan dan tenaga buruh.
     
    El Nino, fenomena iklim semula jadi yang memanaskan bahagian Lautan Pasifik setiap dua hingga tujuh tahun, mempunyai pelbagai kesan terhadap cuaca dunia. Di selatan Afrika, ia biasanya menyebabkan hujan di bawah purata, tetapi tahun ini telah menyaksikan kemarau paling teruk dalam beberapa dekad. – AP
     
    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda