PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, 4 Jan – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres pada Rabu mengalu-alukan pembukaan semula saluran komunikasi antara Korea Selatan dan Korea Utara, lapor agensi berita China Xinhua.
Sebagai respons kepada soalan berkaitan Korea Utara, timbalan jurucakap Guterres, Farhan Haq berkata ia adalah satu perkembangan positif jika dapat mengadakan dialog antara kedua-dua negara.
“Dalam konteks itu, setiausaha agung mengalu-alukan pembukaan semula saluran komunikasi antara Korea,” kata Haq kepada pemberita.
“Kami kekal komited untuk memastikan pelaksanaan resolusi Majlis Keselamatan berkaitan pembasmian senjata nuklear di Semenanjung Korea dan berharap peningkatan inisiatif diplomatik akan membantu mencapai matlamat itu.”
Korea Utara dan Korea Selatan telah membuka semula hotline di perkampungan perdamaiannya di Panmunjom di tengah-tengah peningkatan harapan terhadap penyertaan Korea Utara dalam temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang di Korea Selatan.
Dalam ucapan Tahun Baharu beliau, pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong Un berkata negara itu akan mengambil langkah sewajarnya untuk melakukan persiapan bagi menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 pada Februari.
Hotline antara Korea digantung selepas Seoul menutup sebuah taman perindustrian dalam pekan Kaesong di sempadan Korea Selatan berikutan ujian nuklear yang dilakukan oleh Pyongyang pada Januari 2016. – Bernama