GENEVA, 17 DIS – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini berkata bahawa kira-kira satu juta orang dijangka akan kembali ke Syria pada separuh tahun pertama 2025, berikutan kejatuhan pemerintahan Presiden Bashar al-Assad.
Assad melarikan diri dari Syria hanya seminggu yang lalu, apabila pasukannya meninggalkan kereta kebal dan peralatan lain berikutan serangan kilat yang diketuai oleh kumpulan Islamis Hayat Tahrir al-Sham (HTS), sekali gus menamatkan pemerintahan selama lima dekad oleh keluarga Assad.
Pemerintahan itu dibelenggu penahanan dan pembunuhan besar-besaran terhadap suspek pembangkang, serta hampir 14 tahun perang saudara yang mengorbankan lebih 500,000 nyawa dan memaksa separuh daripada populasi negara itu melarikan diri dari rumah mereka.
Kejatuhan Assad mencetuskan perayaan di seluruh Syria dan luar negara, serta mendorong rakyatnya untuk mula kembali ke negara mereka yang musnah akibat perang.
“Kami meramalkan dan berharap untuk melihat sekitar satu juta rakyat Syria kembali antara Januari dan Jun tahun depan,” kata Rema Jamous Imseis, pengarah agensi pelarian PBB UNHCR untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, kepada wartawan di Geneva.
Beliau berkata perkembangan terkini telah membawa ‘harapan yang besar untuk menyelesaikan krisis pemindahan terbesar di dunia ini.’
Namun, beliau menegaskan ‘kami juga harus menyedari perubahan rejim tidak bermakna berakhirnya krisis kemanusiaan yang sudah berleluasa di sana.’
Menyentuh tentang ‘cabaran besar,’ beliau menyeru negara-negara yang menempatkan jutaan pelarian Syria agar tidak menghantar mereka pulang secara tergesa-gesa.
“Tiada siapa yang seharusnya dihantar pulang secara paksa ke Syria dan hak rakyat Syria untuk terus mendapat akses kepada suaka mesti dipelihara,” kata Imseis. – AFP