MOSCOW, 28 JULAI – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersedia untuk menyokong rakyat Palestin dalam usaha pembinaan negara mereka, kata Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk, kelmarin lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Kami bersedia untuk membantu rakyat Palestin dalam pembinaan negara, dengan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang sebagai teras. Apabila tiba masanya, program untuk menyokong mangsa dan yang terselamat akan menjadi saluran penting ke arah kebertanggungjawaban dan pemulihan,” kata Turk dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa kerajaan dunia agar menekan Israel untuk menamatkan konflik di Gaza dan menghalang tindakan pengilhakan Tebing Barat yang diduduki.
Pada Khamis lepas, Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata Perancis akan secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dalam mesyuarat Perhimpunan Agung PBB pada September ini.
Setakat tahun ini, Negara Palestin diiktiraf oleh 147 negara. Pada 2024, Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto terhadap keahlian penuh Palestin dalam PBB. Sejak 2024, Palestin diiktiraf oleh 10 negara termasuk Ireland, Norway, Sepanyol dan Armenia. – Bernama-Sputnik/Ria Novosti
