NEW YORK, 29 SEPT – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) Antonio Guterres menyifatkan jumlah kematian global akibat COVID-19 yang kini mencecah sejuta orang, satu ‘tahap amat menyakitkan’, lapor agensi berita Sputnik.
Menurut Johns Hopkins University, jumlah kematian COVID-19 di seluruh dunia mencecah satu juta, dengan lebih 33 juta kes disahkan dan lebih 23 juta dalam pemulihan.
“Dunia kita sudah berada pada tahap paling buruk: kehilangan sejuta nyawa akibat pandemik COVID-19. Jumlah yang langsung tidak pernah terlintas di fikiran. Namun, kita tidak boleh lupakan setiap kehidupan individu. Mereka adalah ayah dan ibu, isteri dan suami, ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja. Rasa sakit itu berlipat kali ganda disebabkan penyakit yang tidak dapat dikawal ini, “ kata Guterres dalam satu kenyataan. – Bernama