NAIROBI, 6 SEPT – Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres kelmarin menyeru kepada langkah-langkah baharu, termasuk pakej kewangan, pelepasan hutang dan semakan sistem kewangan global bagi membolehkan negara-negara Afrika menangani bencana iklim dengan berkesan.
Guterres juga mengingatkan negara-negara kaya untuk menunaikan ikrar mereka menyediakan dana yang diperlukan untuk menangani perubahan iklim yang tersedia kepada negara-negara miskin untuk bertindak balas secara berkesan terhadap kekacauan iklim.
“Negara kaya mesti menepati janji mereka untuk mendapatkan dana iklim,” katanya kepada pemimpin Afrika yang berhimpun di ibu negara Kenya, Nairobi, pada Sidang Kemuncak Iklim Afrika untuk membincangkan mekanisme tindak balas benua terhadap perubahan iklim, lapor Xinhua.
Pemimpin Afrika yang bertemu di Nairobi untuk sidang kemuncak iklim kali pertama telah mencadangkan beberapa langkah, termasuk rundingan hutang dengan negara kaya untuk menyediakan dana bagi menangani perubahan iklim.
Bercakap pada sidang media selepas itu, ketua PBB itu menyeru pakej rangsangan kewangan AS$500 bilion setiap tahun untuk membantu negara membangun melabur dalam populasi mereka dan membangunkan sistem yang diperlukan untuk mempercepatkan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan. – Bernama


