Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB: Tahun 2025 antara tiga tahun paling panas dalam rekod

    GENEVA, 7 NOV – Satu siri peningkatan suhu luar biasa secara berterusan menjadikan tahun 2025 berada di landasan untuk menjadi antara tiga tahun paling panas dalam sejarah, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin. Namun, agensi itu menegaskan trend berbahaya ini masih boleh dibendung sekiranya tindakan segera diambil.

    Menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), meskipun 2025 tidak akan mengatasi tahun 2024 sebagai tahun paling panas pernah direkodkan, ia dijangka menduduki tempat kedua atau ketiga, menandakan lebih satu dekad pemanasan global yang belum pernah berlaku sebelum ini.

    Dalam laporan yang diterbitkan ketika puluhan pemimpin dunia berhimpun di Hutan Amazon, Brazil menjelang Sidang Kemuncak Iklim COP30 minggu hadapan, WMO turut mendedahkan kepekatan gas rumah hijau kini berada pada paras tertinggi dalam sejarah, sekali gus mengunci lebih banyak haba di atmosfera bagi tempoh jangka panjang.

    “Perkembangan ini bermaksud hampir mustahil untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius dalam beberapa tahun akan datang tanpa terlebih dahulu melepasi sasaran Perjanjian Paris,” kata Ketua WMO, Celeste Saulo, dalam ucapannya di Belem, utara Brazil.

    Perjanjian Iklim Paris 2015 menetapkan sasaran untuk mengehadkan peningkatan suhu global kepada bawah dua darjah Celsius berbanding tahap pra-industri dan jika boleh, kepada 1.5 darjah Celsius.

    Namun, Saulo menegaskan walaupun keadaan semasa amat membimbangkan, “sains menunjukkan masih ada peluang dan keperluan penting untuk menurunkan suhu kembali kepada 1.5 darjah Celsius menjelang akhir abad ini.”

    Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menyifatkan kegagalan mencapai sasaran suhu tersebut sebagai satu ‘kegagalan moral’.

    Sementara itu, Ketua Sains Iklim WMO, Chris Hewitt, dalam sidang media di Geneva menekankan “kita belum tahu berapa lama suhu akan melebihi paras 1.5 darjah itu,” sambil menambah bahawa tempohnya “bergantung pada keputusan yang diambil sekarang dan inilah antara cabaran terbesar COP30.”

    Namun, beliau memberi amaran dunia masih jauh daripada landasan yang sepatutnya untuk mengekang perubahan iklim. – AFP

    Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva (kanan) dan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres semasa di Belem, Para State, Brazil pada 6 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda