WASHINGTON, 27 OGOS – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin, telah menubuhkan sebuah badan penasihat kecerdasan buatan (AI) bagi membantu negara-negara membuat keputusan berkaitan teknologi revolusioner itu.
Negara-negara anggota menyatakan kebimbangan terhadap perkembangan pesat alat yang mampu mengubah kehidupan tetapi dikhuatiri boleh mengancam demokrasi serta hak asasi manusia.
Pada bulan September lalu, negara-negara anggota PBB telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah panel pakar terdiri daripada saintis bagi memudahkan dialog antara kerajaan mengenai isu AI.
Menerusi satu resolusi yang diluluskan kelmarin, Perhimpunan Agung telah menubuhkan apa yang dinamakan sebagai Panel Saintifik Antarabangsa Bebas mengenai Kecerdasan Buatan.
Antara aktivitinya ialah “mengeluarkan penilaian saintifik berasaskan bukti dengan menganalisis serta menyintesiskan kajian sedia ada yang berkaitan peluang, risiko dan impak kecerdasan buatan.”
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres kini akan mencari calon untuk menganggotai badan tersebut yang akan mempunyai 40 ahli bagi tempoh tiga tahun.
Resolusi itu turut merangkumi cadangan mengadakan dialog global tahunan antara kerajaan dan pihak berkepentingan lain mengenai tadbir urus AI.
Menurut teks resolusi tersebut, pihak-pihak ini akan membincangkan kerjasama antarabangsa, berkongsi amalan terbaik dan pengalaman, serta berbincang mengenai tadbir urus AI bagi membantu dunia mencapai matlamat pembangunan global PBB, antara lain.
Sesi dialog pertama dijadualkan berlangsung di Geneva tahun depan sempena sidang kemuncak dunia mengenai AI.
“Pembangunan kecerdasan buatan bergerak pada kadar dan skala yang memberi kesan kepada semua negara di seluruh dunia,” kata Duta Costa Rica, Maritza Chan Valverde, yang mengetuai perbincangan merangka resolusi baharu itu bersama rakan sejawatnya dari Sepanyol.
“Dengan resolusi ini, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menegaskan kembali peranan pentingnya dalam memastikan AI berkhidmat untuk kemanusiaan,” tambahnya. – AFP


