Amerika Syarikat, 28 Feb – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini akan mengundi berhubung dengan dua draf resolusi daripada Amerika Syarikat (AS) dan Rusia yang bertujuan untuk menyelesaikan krisis di Venezuela, tetapi kedua-duanya dijangka menemui kegagalan, menurut diplomat.
Terjejas oleh krisis ekonomi, Venezuela mengalami krisis politik apabila pemimpin pembangkang, Juan Guaido mengisytiharkan dirinya presiden sementara pada Januari dan menegaskan Presiden Nicolas Maduro tidak mempunyai kuasa yang sah.
Semalam, AS mengemukakan satu langkah yang bertujuan untuk mengadakan pilihan raya presiden bagi mengakhiri krisis politik dan penghantaran bantuan untuk mengurangkan kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan di Venezuela.
Satu teks kenyataan Rusia menyeru penyelesaian aman terhadap krisis tersebut dan menarik balik penghantaran bantuan ke Venezuela yang memerlukan kebenaran daripada kerajaan Maduro.
Majlis itu dijangka mengundi pada pukul 9:30 pagi waktu setempat untuk kedua-dua langkah yang dicadangkan.
Rusia dan China, yang menyokong Maduro, mungkin memveto draf resolusi AS yang menyatakan kebimbangan mengenai tindakan rejim yang telah menyebabkankrisis ekonomi, kata diplomat.
Namun langkah Rusia, yang meluahkan rasa kebimbangan mengenai ancaman untuk menggunakan kekerasan ke atas Venezuela, berkemungkinan tidak berupaya mengumpul sembilan undi untuk pelaksanaannya, menurut diplomat.
Resolusi di Majlis Keselamatan, yang terikat kepada undang-undang, mesti mengumpul sembilan undi yang diluluskan, tanpa veto daripada lima anggota tetap iaitu Britain, China, Perancis, Rusia dan AS.
Teks yang digubal oleh AS, yang dilihat AFP, menuntut pilihan raya presiden yang bebas, adil dan boleh dipercayai, dengan kehadiran pemerhati antarabangsa, sekali gus menggambarkan bahawapengundian pada Mei lalu di mana Maduro yang diisytihar menang adalah ‘tidak bebas dan adil.’
Ia menyatakan sokongan terhadap pemulihan demokrasi dan kedaulatan undang-undang di Venezuela dan meminta Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres membantu dalam satu perjanjian untuk menganjurkan pilihan raya baharu. – AFP