Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBDB anjur mesyuarat bincang format kejohanan

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 31 MEI – Bersempena dengan penganjuran liga bola sepak di Daerah Belait yang bakal bermula pada awal bulan Jun, Persekutuan Bolasepak Daerah Belait (PBDB) telah mengadakan mesyuarat pengurus hari ini di dewan Pusat Belia Daerah Belait.

    Antara perkara-perkara ditekankan semasa mesyuarat tersebut ialah perubahan yang dilakukan terhadap peraturan sukan serta undian jadual perlawanan bagi liga yang bakal dilangsungkan.

    Hadir bagi mempengerusikan mesyuarat tersebut ialah Timbalan Presiden PBDB, Awang Morni bin Haji Zakaria, yang memberi ucapan ringkas bagi pihak Presiden PBDB, Pengiran Saiful Redzalli bin Pengiran Jaya Indera Pengiran Haji Mokhtar Puteh.

    Dalam ucapannya, beliau menekan kepentingan kehadiran pengurus-pengurus, jurulatih dan pemain untuk memahami peraturan yang telah dibuat yang mana dengan memahami peraturan baharu tersebut akan membantu mereka mempamerkan persembahan terbaik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

    Perubahan peraturan bola sepak telah disampaikan oleh ketua pengadil di Daerah Belait selaku pengajar di Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD), Pengiran Haji Mohd Saiful Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad.

    Mesyuarat tersebut turut diselajurkan dengan undian bagi melengkapkan jadual perlawanan Liga Bola Sepak Daerah Belait 2021, yang mana pasukan-pasukan bertanding akan bersaing dalam format round-robin untuk mara ke peringkat separuh akhir.

    Antara pasukan-pasukan yang akan bersaing bagi liga bola sepak yang akan datang adalah termasuk pasukan Akhdan Soccer Team, Liang Lumit Belait Soccer Team, Nelayan FT, Tanoshi FC, Nusantara FC, Hawa FC, Hoist FT, Mengelella FC dan HRFT.

    Perlawanan pertama akan menyaksikan pertemuan antara Tanoshi FC menentang Liang Lumut Belait Soccer Team yang akan berlangsung pada 6 Jun bertempat di Padang Bolasepak Seria Arena dan perlawanan berikutnya akan diadakan pada setiap hujung minggu sehingga kesemua pasukan bertemu sesama mereka yang kemudian akan menentukan pertemuan di peringkat separuh akhir.

    Mesyuarat diakhiri dengan penyerahan kelengkapan bola sepak dan barang-barang keperluan lain seperti penutup mulut dan hidung dan pensanitasi tangan yang diserahkan kepada wakil-wakil pasukan bagi memastikan mereka bersedia untuk liga bola sepak yang akan datang.

    Awang Morni dan wakil-wakil daripada pasukan yang menyertai liga bola sepak tersebut bergambar ramai semasa mesyuarat berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda