Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBKBD anjur kejohanan badminton buat pertama kali

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam (PBKBD) dengan kerjasama Super Smasher buat julung kalinya menganjurkan kejohanan badminton khusus untuk beregu wanita iaitu Kejohanan Super Smasher, Women in Badminton (WIB) bermula kelmarin hingga 7 September.

    Seramai 175 pemain wanita warganegara tempatan dan luar negara menyertai kejohanan tersebut yang dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu advance, intermediate dan novice.

    Daripada kategori-kategori tersebut, novice menerima penyertaan terbanyak, iaitu lebih 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pendaftaran.

    Kategori novice dibukakan kepada pemain wanita yang belum pernah menyertai mana-mana pertandingan atau kejohanan terbuka individu atau berkumpulan dan merupakan kategori untuk memperkenalkan suasana pertandingan yang kompetitif.

    Itu menunjukkan semakin ramai pemain badminton wanita mula berani menyahut cabaran untuk menimba pengalaman dan mendedahkan bakat dalam sukan badminton, selain membina keyakinan diri dengan menggalakkan penglibatan mereka dalam sukan.

    Perlawanan itu terbuka untuk disaksikan orang ramai yang akan bermula pukul 7 malam di dewan Hotel Centrepoint, Gadong.

    Super Smasher berharap kejohanan itu dapat memberi inspirasi kepada setiap wanita di gelanggang untuk melebihi batasan diri; memberi inspirasi di antara satu sama yang lain; dan memperlihatkan kekuatan, kemahiran, serta semangat yang mendefinisikan perjalanan wanita dalam ikatan silaturahim.

    Selain itu, dapat mengangkat kebolehan dan keyakinan wanita antara satu sama lain agar terus memecahkan halangan dalam sukan dan kehidupan.

    Antara aksi pemain semasa pertandingan tersebut. – GAMBAR OLEH SUPER SMASHER
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda