Oleh Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Kontinjen Brunei yang terdiri daripada 15 pelumba bot laju dan kru dari Persatuan Bot Laju Brunei Darussalam (PBLBD) baru-baru ini telah menyertai Perlumbaan Bot Laju Bintangor 2022 di Sarawak, Malaysia.
Acara berkenaan merupakan kali pertama PBLBD dapat bersaing di peringkat antarabangsa sejak pandemik COVID-19. Antara pasukan yang bersaing di bawah naungan PBLBD ialah 8090 Racing Team dan Miratrisyia Racing Team yang masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima dalam kategori SST60.
Sementara itu, terdapat juga pasukan persendirian dari Brunei yang ikut bertanding dalam acara kali ini, termasuklah Raja Kerbau Racing Team yang mendapat tempat kedua dalam 30hp (2 pistons) Tunnel Boat dan 30hp (3 pistons) Tunnel Boat, Gemilang 111 yang mendapat tempat pertama dalam kategori 50hp, dan akhir sekali Brunei MMRE Racing Team yang mendapat tempat kedua dalam kategori SST60.
