Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) harus menerajui usaha dalam agenda transformasi digital bagi sektor maritim dan pelabuhan di negara ini.
Inisiatif itu dapat diintegrasikan dengan pelan induk ekonomi digital kebangsaan dengan penglibatan semua agensi kerajaan yang relevan dan pelbagai pihak yang berkenaan termasuk syarikat telekomunikasi, pihak akademik serta komuniti perkapalan di Brunei.
Pada masa yang sama, penggunaan teknologi 5G dan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pengangkutan maritim juga sedang diuji dan melalui peringkat rintisan dalam rantau Asia dengan terminal pelabuhan automatik sepenuhnya serta kenderaan panduan elektrik automatik merupakan antara yang sedang dikaji dan diuji di negara-negara jiran.
Oleh itu, PBMP juga diseru untuk peka dan mengambil maklum mengenai contoh amalan baik yang dilaksanakan bagi membangunkan lagi sektor maritim dan pelabuhan Brunei menerusi penyediaan perkhidmatan bertaraf dunia yang lebih mapan, boleh dipercayai serta efisien.
Seruan itu dibuat oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof dalam ucaptama semasa Pelancaran Forum dan Pameran Sempena Hari Maritim Sedunia 2019 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Beliau menambah bahawa penyelidikan dan pembangunan, inovasi serta penggunaan teknologi tidak dapat dinafikan merupakan sebahagian daripada mana-mana industri dan industri maritim tidak terkecuali daripada hakikat berkenaan.
Terdahulu dalam ucaptama berkenaan, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi berkongsi mengenai fakta utama bagi trafik kontena pelabuhan dan pengangkutan maritim serantau serta global.
Beliau menjelaskan bahawa menurut United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD), lima daripada 10 ekonomi terhubung yang terbaik pada 2019 adalah di Asia, separuh daripada kapal di dunia dimiliki oleh entiti dari Asia.
Pada 2017, sebanyak 753 juta unit kontena 20 kaki (TEU) telah diuruskan di pelabuhan di seluruh dunia dan pelabuhan kontena dunia telah meningkat sebanyak 6 peratus antara 2016 dan 2017 di mana ia merupakan pertumbuhan terbesar yang dicatatkan dalam tempoh lima tahun kebelakangan serta ekonomi membangun di Asia dan Oceania mengendalikan sebanyak 61 peratus trafik pelabuhan kontena dunia.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib seterusnya menyatakan lagi bahawa sebuah komponen penting dalam membantu untuk membuat keputusan serta perancangan jangka panjang ialah data di mana bagi sektor pengangkutan maritim dengan adanya data yang banyak, ia akan memberikan sokongan kepada penjanaan peluang baharu untuk meningkatkan lagi operasi perkapalan, keselamatan, sekuriti dan logistik.
Tanpa data, jelasnya, memang sangat sukar untuk melaksanakan penyelidikan dan pembangunan yang bermakna, substantif serta berguna dan kita juga tidak akan dapat melakukan perkara secara inovatif untuk menjadikannya lebih efisien, selamat serta juga kos efektif.
Beliau menekankan lagi bahawa tanpa adanya data, tidak dapat untuk merancang bagi pertumbuhan masa akan datang.
Dalam hubungan itu, beliau menyarankan bahawa mereka harus merangkul bakat daripada semua peringkat iaitu dari perniagaan tempatan, institusi penyelidikan dan agensi-agensi kerajaan di mana mereka harus bekerjasama serta melengkapi antara satu sama lain untuk menjana pertumbuhan industri ke tahap yang lebih tinggi.
Ia adalah amat bertepatan dengan tema Sambutan Hari Maritim Sedunia yang dipilih oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) iaitu ‘Memperkasa Wanita dalam Komuniti Maritim’, di mana ia memberikan peluang untuk meningkatkan kesedaran pentingnya kesaksamaan jantina selaras dengan Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan untuk mengetengahkan sumbangan signifikan wanita dari seluruh dunia dalam sektor maritim.